Selasa, 19 Mac 2013

Enam (6) Situasi Dibenarkan Ghibah/Mengumpat

Berdasarkan hadith-hadith sahih di atas, para ulama telah sepakat bahawa terdapat enam (6) situasi kita dibenarkan untuk melakukan ghibah. Enam (6) keadaan tersebut ialah:
  1. Dalam hal penganiayaan. Orang yang dianiaya itu boleh mengadukan mengenai orang yang menganiayanya kepada penguasa atau orang yang mempunyai kuasa atau kemampuan untuk menyedarkan atau mengadili tindakan aniaya itu. Misalnya orang yang dianiaya itu mengatakan: “Si fulan menganiayai saya begini dan begitu.”

  2. Dalam hal meminta tolong untuk melenyapkan kemungkaran dan untuk menegur orang yang berbuat kemaksiatan, misalnya seseorang berkata kepada orang yang diharapkan dapat melenyapkan kemungkaran tersebut dengan berkata: “Si fulan berbuat kemungkaran. Tolonglah buat sesuatu.” dan lain-lain ucapan seumpamanya dengan maksud untuk melenyapkan kemungkaran. Seandainya tidak dengan maksud untuk melenyapkan kemungkaran maka hal itu tidak dibolehkan.

  3. Dalam hal meminta nasihat. Misalnya ada seseorang berkata kepada orang lain yang dianggap boleh memberikan nasihat: “Saya diperlakukan begini oleh ayah saya, atau saudara saya, atau pasangan saya, atau oleh si fulan, lalu bagaimanakah sebaiknya saya lakukan? Apakah nasihat anda kepada saya? Apakah hukumnya mereka melakukan begitu kepada saya?”. Yang terbaik ialah tidak perlu menyebut nama atau hubungan mereka dengan kita, contohnya: “Bagaimanakah pendapat anda jika seorang suami melakukan begini dan begitu kepada isterinya?” Dengan cara begini, maksudnya tercapai juga walaupun tidak menyebut nama orang tersebut atau menyebut hubungan dia dengan kita. Namun, jika mahu menyebut juga, masih dibenarkan.

  4. Dalam hal memberikan peringatan atau nasihat kepada kaum muslimin agar tidak terjerumus ke dalam kejahatan. Contohnya menyebut cacat dan aib para periwayat hadith dan para saksinya supaya riwayat tersebut diketahui akan statusnya lalu tidak disebarkan secara tanpa hak. Contoh yang lain adalah seperti ketika bermesyuarat, memilih pasangan atau besan, memulakan kerjasama/perniagaan, memilih jiran tetangga dan seumpamanya. Tujuan ghibah mestilah dengan sebab ingin memberikan peringatan atau nasihat supaya kemudharatan atau keburukan dapat dicegah.

  5. Dengan berterus-terang menegur kefasikan seseorang seperti kepada orang yang meminum minuman keras, orang yang merampas harta orang lain, orang yang menerapkan kebatilan dan lain-lain kemaksiatan. Dalam hal ini seseorang boleh berterus terang menegur tindakannya yang tidak benar itu, tetapi tidak boleh mendedahkan aib yang lain yang tidak berkaitan.

  6. Dalam hal memberikan pengertian atau kejelasan, misalnya ada seseorang yang lebih dikenali dengan gelaran ‘si buta’, atau ‘si tuli’, atau ‘si bisu’ dan sebagainya. Dalam hal ini seseorang boleh menyebutnya dengan gelaran itu, tetapi kalau dengan maksud mengejek atau menghina maka diharamkan. Dan kalau boleh, hindarilah gelar-gelar semacam itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan