Tips Dan Panduan Khusyuk Solat
.
2. KETIKA HENDAK MENUNAIKAN
SOLAT
.
i) Azan dan iqamah
Kumandangkan Azan dan
iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan solat bersendirian ataupun
sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
.
ii) Lakukan Solat Secara Berjemaah
Berusahalah melakukan solat
secara berjemaah kerana iaadalah suatu tuntutan dan syi‘ar agama Islam. Selain
pahala solat berjemaah itu melebihi solat seorang diri dengan dua puluh tujuh
darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang solat berjemaah itu
akan memperolehi kekhusyukan ketika bersolat dan terselamat daripada perkara
yang lagha dan boleh melalaikannya.
.
iii) Menghadirkan
Hati.
Maksudnya ialah sebelum
mendirikan solat kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu
ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat solat yang dikerjakan.
Abu Darda’ RadhiAllahu
‘anhu berkata: “Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi
keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan solat supaya dia
masuk ke dalam solat dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”
.
iii) Mengingatkan
Mati
Agar pemikiran tidak liar,
sebelum solat ingatkan diri bahawa kematian seolah-olah amat hampir dengan kita
dan solat tersebut kemungkinan merupakan solat yang terakhir sekali dalam hidup
kita dan perlulah dijadikan yang terbaik.
Diriwayatkan daripada Hatim
al-Asham RadhiAllahu ‘anhu bahawa ditanyakan kepadanya tentang solatnya, beliau
beliau menjawab: “Apabila tiba waktu solat aku menyempurnakan
wudhuk dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan solat.
Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku.
Kemudian aku berdiri menunaikan solatku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua
keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku,
neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka solat ini
adalah solatku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan
takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang
betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk
atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan
tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian
aku tidak tahu sama ada solatku diterima atau tidak?”
.
iv) Membaca Zikir
Sebelum mengangkat takbir
elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan.
Umpamanya seperti membaca:
a.) Surah an-Nas
b.) Ta‘awudz
c.) Tahlil:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ
“Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”
d.) Zikir:
امنا با الله و برسوله
“Kami beriman dengan Allah dan rasul-rasulNya.”
.
v) Berusaha Melawan Gangguan Syaitan
Antara tipu daya syaitan
ialah memesongkan atau memalingkan perhatian semasa solat. Caranya ialah dengan
memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang sedang kita
baca. Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat dan
keikhlasan ibadat yang dilakukan. Adakalanya sehingga seorang itu boleh menjadi
ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikannya, adakah sudah
cukup atau masih lagi kurang.
Diriwayatkan daripada Abu
Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan
solat syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas
orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya.”
(Hadits riwayat Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan